Tongkat Ali
Tongkat ali merupakan sejenis tumbuhan yang dikatakan mempunyai bahan bagi membantu lelaki yang menghadapi masalah syahwat sejak turun-temurun oleh orang Melayu. Tongkat ali terkenal kerana mempunyai kesan afrodisiak (penggalak seks). Secara tradisi, tongkat ali digunakan untuk merawat beberapa jenis penyakit dan meningkatkan kesihatan termasuk pening kepala, kurap, disentri, bengkak, antitumor, antiradang dan antioksida. Eurikomanone, eurikomalaktone dan eurikomanol (quassinoids) yang banyak terdapat dalam akarnya merupakan kandungan kimia penting industri. Penyelidikan menunjukkan bahawa bahan kimia (fitokimia) yang terdapat dalam tongkat ali boleh meningkatkan paras testosteron iaitu hormon yang diperlukan untuk fungsi seksual lelaki.